Blog ini bersifat bebas dan meliputi segala aspek kehidupan. Semua artikel bukan bertujuan menghasut cuma luahan peribadi. Gunakan akal untuk mentafsir sendiri. Jangan biarkan minda anda dijajah.

Monday, September 6, 2010

Luahan Hati ....... Kesian

Pada 19 Ogos 2010, saya dapati akaun simpanan saya telah dibekukan. Saya telah membuat panggilan kepada pihak bank berkenaan berhubung pembekuan akaun. Saya diberi tahu bahawa hutang kad kredit saya belum dilunaskan. Oleh itu pihak bank akan menolak sejumlah RM 917 daripada akaun saya. Bank tidak sekalipun cuba untuk menyelesaikan cara lain, sebaliknya hanya berkata, "I'm sorry".

Pada 21 Ogos 2010, bank telahpun menolak RM 917 dari akaun saya. Berkali-kali saya terangkan melalui telefon, bahawa jika pihak bank berbuat demikian, komitmen saya terhadap pinjaman kereta, perbenlanjaan sehari, duit minyak, apatah lagi perbelanjaan menjelang Hari Raya akan terganggu.

Saya kesal dengan tindakan bank sebegini kerana;
  • Tiada sebarang surat dihantar untuk memberi tahu tarikh pembekuan akaun.
  • Tiada panggilan dari pihak bank berkenaan pembekuan akaun dan tunggakan kad kredit.
  • Bank telah membekukan akaun saya, walhal itu semua adalah wang saya.
  • Tiada sebarang 'mutual understanding' berkenaan penyelesaian baki.
  • Bank telah menolak baki RM 917 daripada akaun saya tanpa arahan dari saya.
  • Bukannya bank tidak mengenakan faedah terhadap hutang.
  • Bulan depan sudah Hari Raya, tetapi saya tidak punyai wang untuk dibelanjakan.
  • Saya telah merayu supaya tidak menolak RM 917 dari akaun saya dan meminta untuk menyelesaikan baki minimum.
  • Bank tidak seharusnya membekukan akaun tanpa pemberitahuan atau notis.
  • Jumlah tunggakkan adalah RM 907, tetapi dikenakan tambahan RM 10. Untuk apa, saya pun tidak tahu.

Sekarang, kerosakan telah dilakukan, wang telah dirompak dari saya. Perbuatan bank itu saling tidak tumpah seperti Ah Long, di mana mereka membekukan akaun, memaksa pelanggan melunaskan hutang dan membiarkan pelanggan mengikat perut untuk menempuh seharian. Mana pergi kemanusian?

Saya terkilan, kerana sanggup syarikat gergasi yang selama ini saya setia sejak bangku sekolah lagi telah menindas orang kerdil. Apalah sangat RM 917 itu kalau dibandingkan dengan USD 1 billion untung selepas cukai yang diumumkan oleh bank itu.

Apakah wajar bank menindas golongan usahawan yang tidak berjaya macam saya? Bukankan ada cara lebih baik selain merompak dari akaun saya? Tidakkah bank boleh menyusun ansuran selama tiga bulan? Yang paling penting, mengapa menjelang Hari Raya?

Oleh itu, saya sarankan kepada masyarakat umum, jika hendak menggunakan kemudahan kredit kad, pilihlah bank tertentu.

Janganlah anda terikat dengan 'Ah Long gergasi' seperti yang saya alami.

Masih merdeka

Namun tanah ini hanya sekadar mencapai kemerdekaan dari tangan penjajah British dari segi kedaulatan pentadbiran. Dari segi budaya dan pendekatan pentadbiran pula, golongan pemerintah masih mewarisi taktik pemerintahan yang digunakan oleh penjajah British, iaitu dasar pecah dan perintah.



Parti pemerintah yang sudah mentadbir tanah ini selama 53 tahun iaitu BN (berkembang dari parti Perikatan sejak tahun 1973) masih mewarisi pendekatan dasar pentadbiran British yang sengaja memisahkan pergaulan di antara pelbagai kaum di tanah air ini.



Dasar pecah dan perintah penjajah British dilaksanakan menerusi sektor penceburan yang berbeza di mana peluang pekerjaan sektor awam hanya dibuka kepada kaum Melayu, kaum Cina digalakkan berkembang dalam sektor perniagaan dan kaum India pula dihadkan kegiatan mereka sebagai pekerja di kawasan ladang-ladang.


Dasar pecah dan perintah BN pula dilaksanakan menerusi perwakilan politik yang membela hak kaum masing-masing di mana hanya Umno yang dibenarkan mempelopori status kebudayaan, ekonomi dan agama kaum Melayu.



MCA dan MIC pula menjadi pembela hak kaum Cina dan kaum India yang berunding dengan Umno untuk menyelesaikan masalah ketegangan perkauman dan agama yang sengaja ditimbulkan oleh Umno.



Dengan pendekatan ini, di bawah liputan laporan media arus perdana yang dikawal ketat oleh kerajaan BN, ketiga-tiga parti ini dapat bersandiwara sebagai pejuang kaum masing-masing sekaligus meraih sokongan daripada komuniti kaum masing-masing.



Kebaikan pendekatan pecah dan perintah ini adalah, Umno, MCA dan MIC mempunyai bahan lakonan untuk menyamar sebagai pejuang kaum masing-masing yang tidak akan tertandus.


Keburukannya adalah perhubungan sesama komuniti-komuniti dari latar belakang kaum dan agama yang berbeza akan semakin renggang dan tegang. Apabila keadaan mengizin dan menguntungkan parti-parti komponen BN, mereka akan bersaing meredakan keadaan runsing dengan rundingan tutup pintu.



Apabila keadaan tidak menguntungkan mereka ataupun permusuhan di antata golongan kaum dan agama yang berbeza boleh menambahkan modal politik mereka masing-masing, pemimpin-pemimpin daripada ketiga-tiga parti ini akan terus membiarkan perbalahan dan persengketaan diapi-apikan.



Dengan memahami cara pengendalian politik BN, maka tidak hairanlah kepada kita kenapa ahli-ahli politik dan mesin-mesin propaganda BN/Umnosanggup melempar segala bentuk fitnah di luar jangkaan akal biasa manusia ke arah individu dan juga komuniti yang berasal dari keturunan kaum dan agama yang lain walaupun pada bulan Ramadan yang menyanjung semangat bertoleransi dan bermaaf-maafan.



Cuba kita renungkan apa bezanya Umno/BN daripada penjajah British yang mempraktikkan taktik pecah dan perintah sepanjang zaman penjajahan di semenanjung Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu memandangkan untuk terus memonopoli peranan politik sebagai pembela dan pejuang hak kaum bumiputera, pemimpin Umno sanggup memecah-belah perpaduan dan permuafakatan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang agama supaya mereka sahaja yang dibenarkan mendekati rakyat kaum bumiputera (pada hakikatnya, mereka hanya mesra dengan rakyat akar umbi semasa musim pilihanraya dan pilihan kecil)?